November 8, 2013

Runtuh Hati Melalui 'Doa' - Ajaibnya Kuasa Dalam Doa

“ Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu ( Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.” [Al-Baqarah2 :186]

*Ajaibnya hdup dengan doa. Ajaib! Benar-benar ajaib. Pernahkah kita terfikir di masa lalu ketika kita berada di dalam satu situasi masalah yang kita fikir pada masa itu, kita tidak akan dapat keluar lagi daripada masalah itu. Lalu kita menadah tangan dan berdoa "Ya ALLAH, Engkau berikanlah petunjuk dan kelapangan bagiku." Lalu ALLAH berikan kita jalan penyelesaian dan kita terkeluar daripada masalah itu. Banyak sekali situasi getir dalam hidup kita lalu diiringi dengan doa. Walhal, seumur hidup kita, banyak sekali ungkapan kalam hati kita kepada Tuhan yang berbentuk doa dan kita telahpun melupakan sebahagian besar daripada apa yang kita pernah minta dalam doa itu. SubahanAllah.

Doa senjata Mukmin. Itu yang biasa kita dengar dan ramai mengakuinya. Tetapi malangnya  amat sedikit yang meyakininya. Allah SWT telah berfirman dalam surah Ghafir (al-Mukmin), ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina

Maka, apabila Dia berjanji, letakkan keyakinan dihati bahawa sudah pasti akan dikotakan janji tersebut. Ada pula yang bertanya, bukankah Allah Maha Mengetahui. Dia mengetahui setiap sesuatu yang terdetik dalam hati-hati hamba-Nya. Jadi, mengapa perlu berdoa?

“Berdoa adalah luahan rasa kehambaan terhadap Allah. Dengan berdoa, kita menyerahkan segala ketentuan kepada Allah SWT. Menunjukkan kita memerlukan pertolongan-Nya dalam menjalani kehidupan. Menyedarkan kedudukan kita sebagai hamba yang hanya meminjam nikmat-Nya,”

Apabila disebut doa, maka simbol dan isyarat selalunya digandingkan dengan menadah tangan. Hal ini satu tanda bagaimana permintaan seorang hamba yang merendah diri kepada Tuhan yang Maha Memiliki.

Namun doa tidak hanya terhad dalam bentuk mengangkat tangan. Sememangnya terdapat amalan  Nabi s.a.w menadah tangan ketika berdoa sebagaimana sewaktu perstiwa memohon hujan selepas solat istisqa dan qunut nazilah. Namun, ada juga amalan Nabi s.a.w yang berdoa tanpa menadah tangan seperti doa harian ketika makan, bersama dengan isteri, naik kenderaan, masuk tandas dan sebagainya.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya suatu hadis daripada Abu Hurairah, bahawa  Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidaklah seseorang Muslim berdoa kepada Allah sesuatu doa yang tidak mengandungi dosa atau memutuskan hubungan ‘rahim’, melainkan Allah akan memberikan kepadanya menerusi satu dari tiga cara, iaitu ;diperkenankan apa yang dimintanya atau disimpan-Nya untuknya diakhirat kelak, atau Dia menghindarkan dirinya sesuatu keburukan yang setimpalnya. Para sahabat pun berkata : ‘Kalau begitu kita perbanyakkan berdoa!’ Nabi s.a.w menjawab : ‘Allah SWT lebih banyak memberikan ganjarannya.’”

Persoalan bila dan bagaimana adalah hak Allah. Bukankah ‘Pemurah’ nya Allah kerana secara berterus terang berjanji Ia akan memakbulkan doa hamba-Nya. Bahkan ‘Pemurah’ nya Allah berlanjutan sehingga ke akhirat kelak. Tidak dapat di dunia. Maka akhirat itu tempatnya. Negeri mana yang lebih beruntung perolehannya jika dinilai dengan negeri akhirat?

Dr. Yusuf  al-Qardawi pernah berkata: “Penerimaan Allah terhadap sesuatu doa ada syarat-syaratnya. Dari satu segi yang lain, makbulnya doa ada jangkamasanya, ada waktunya tertentu. Allah SWT akan makbulkan doa orang pada waktu yang dikehendakinya dan dengan cara yang dikehendakinya.”

*Semoga Kita diampuni dan dirahmati oleh ALLAH. Marilah kita menunaikan solat walaupun terpaksa, kerana lama-kelamaan kita pasti akan menemui keikhlasan. Semoga kita berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Amin :)

No comments:

Post a Comment