BAB 1
Tanah Nusantara
SHAFI duduk bersila di sebuah
wakaf dengan matanya yang terkatup rapat. Di tangannya tergenggam seutas tasbih
yang diperbuat daripada batuan putih yang diukir kecil. Mulutnya terkumat-kamit
melafazkan kalimah-kalimah suci secara perlahan. Angin semilir yang bertiup
dari utara itu langsung tidak membejatkan khusyuknya memuji ALLAH. Keadaan
dirinya kala ini seperti berada di langit ketujuh, jasadnya di dunia manakala
rohnya melayang merentasi awan gemawan. Sudah agak lama Shafi begitu.
Menghambakan dirinya kepada TUHAN Yang Maha Esa. Secara tiba-tiba munajatnya
terhenti apabila disapa dari belakang.
“Assalamualaikum.” suara lembut seseorang
mengu-capkan salam yang berunsur kesejahteraan itu.
Shafi seraya menoleh. Keadaan
persekitaran yang suram menyukarkan Shafi melihat raut wajah empunya suara
tersebut dengan jelas. Namun, suara itu amat dikenalinya.
“Walaikumsalam, bapa.” Salam suci
berbalas.
“Apa yang kau lihat sekarang,
Shafi?”
Shafi melihat di sekelilingnya. “Gelap, bapa.”
“Gelap. Ia ibarat kehidupan kita
esok hari. Banyakkan mengingati ALLAH Shafi, serahkan seluruh dirimu
kepada-NYA. Tingkatkan ketakwaan dalam hati anakku” Kiai Jabar tidak pernah
lupa menasihati Shafi. Lelaki yang sudah separuh abad itu merupakan guru kepada
Shafi. Tetapi menjadi bapa asuhannya apabila kedua orang tuanya mati dibunuh.
Dia merupakan seorang anak yatim piatu kala ini.
“Baik bapa, aku akan sentiasa
mengingati pesanan ini walau di mana saja aku berpijak.” Shafi menundukkan
sedikit wajahnya tanda hormat.
“Ingat anakku, setinggi mana pun ilmumu,
jangan diangkat melebihi pundakmu dan apabila engkau tersasar dari mengingati
ALLAH, maka segeralah pulang ke pangkal jalan.” Selepas mengakhiri kata-kata
nasihatnya, Kiai Jabar menghilangkan diri. Dia hilang di sebalik suram. Bukan
ilmu sihir, tetapi itulah di antara kelebihan-kelebihan yang ALLAH kurniakan
kepadanya - Ia Ilmu hijab.
Shafi seraya beristighfar
berulang kali, terasa dirinya sentiasa memikul bebanan dosa yang sangat banyak.
Justeru, lidahnya tidak pernah kering daripada menyebut nama yang paling suci
dan agung-Nama-nama Asma ALLAH. Akhirnya, Shafi terlena dalam keadaan dia
bertasbih.
Seawal subuh Shafi sudah berada
di musolah. Dia duduk-duduk di serambi musolah itu sambil mendongak ke langit.
Hatinya tidak pernah bisu mengagungkan kekuasaan-NYA. Shafi memang seorang
lelaki yang sangat berdisiplin. Seumur hidupnya, dia pasti akan bangkit dulu
sebelum fajar menyinsing di ufuk timur. Manakala di malam hari, Shafi khusyuk
beribadat. Selepas Shafi terlelap sepertiga malam tadi, dia hanya tidur dalam
waktu yang agak singkat. Lebih kurang dalam lapan kali khatam bacaan Surah
Yassin oleh orang yang fasih membaca Al-Quran. Selepas itu dia akan bangkit
dari tidurnya untuk bersedia menunaikan solat subuh.
SHAFI tekun membantu gurunya Kiai
Jabar mengajar rakan seperjuangannya membaca al-Quran. Madrasah ini dibina
sejak setengah abad yang lampau. Tempat ini adalah syurga bagi anak-anak yatim
piatu. Dan di sinilah Shafi diasuh oleh Kiai Jabar sehinggakan Shafi menjadi
salah seorang anak muridnya yang sangat cemerlang dari segala aspek. Setelah
matahari hampir menjangkau ubun-ubun kepala, semua pengajian dihentikan
seketika untuk mengalas perut. Selepas itu, solat zohor dan melakukan
kerja-kerja yang boleh mengukuhkan ukhwah antara mereka.
Kiai Jabar sedari tadi asyik
memerhati Shafi, lelaki itu sungguh ikhlas dan bersungguh-sungguh ketika
menyampaikan ilmu. Apabila Shafi selesai mengajar tajwid, Kiai Jabar memberi
isyarat lisan agar Shafi menemuinya sebentar lagi.
“Ada apa, bapa?” Shafi berdiri di sisi bapa
suhan yang juga gurunya itu.
“Anakku, adakah kau mengerti kunjunganku di
sepertiga malam tadi?” kata-kata Kiai Jabar sungguh berlapik.
“Maafkan aku bapa, aku kurang
mengerti.” Shafi sukar memahami kehendak soalan gurunya itu.
“Anakku, kaulah satu-satunya
asuhanku yang terbaik dalam madrasah ini. Justeru, kaulah harapanku.”
“Aku mengerti, bapa. Apa yang
perlu aku lakukan?” Shafi menelaah sesuatu di sebalik raut wajah bersih Kiai
Jabar.
“Saudara kita sedang terancam di seberang
selang tiga perbukitan ini. Bantulah mereka. Naluri uzurku ini mengkhabarkan
bahawa ada semangat jahat yang sedang berkeliaran di sana.” Kiai Jabar
menuturkan kata-kata tersebut dalam keadaan dirinya yang risau.
“Siapakah dalang di sebalik semua
ini, bapa.”
“Maafkan bapa, anakku. Bapa sudah terlalu tua
untuk menangani semua ini, dia makhluk sumpahan anakku.”
“Subhanallah.” Secara tidak diundang kalimah
suci itu terpacul daripada bibir Shafi.
“Segeralah bersiap Shafi.
Lawatlah hamba ALLAH yang tersesat dari jalan-NYA itu”
“Baiklah bapa, doakan
pemergianku.” Shafi lantas bersalam dengan Kiai Jabar. Lalu dia mencium tangan
lelaki separuh abad itu.
Desa Talang Putih
SHAFI sedang khusyuk bermunajat
kepada ALLAH. Suasana di persekitaran hutan ini begitu sunyi. Hatta, bunyi
seekor cengkerik pun tidak kedengaran. Alam sekeliling seperti mengkhabarkan
fenomena buruk akan terjadi pada hari ini. Setelah sampai petang tadi, Shafi melaungkan
azan di kawasan itu lantas menunaikan solat asar. Sekarang, lelaki itu baru
sahaja selesai menunaikan solat maghrib.
Bergetar hati Shafi ketika
menoktahkan bacaan tahiyat akhir dalam solat maghribnya tadi. Dipengaruhi oleh
perasaan yang takut. Bukan takut kepada sesama makhluk, tetapi takut kepada
ALLAH. Baru sebentar tadi dia memutuskan nikmat manisnya beribadah kepada
ALLAH. Itulah sebab hatinya bergetar ketika memberi salam di akhir solatnya.
Itulah salah satu keistimewaan Islam, iaitu tiada penghalang ataupun
perantaraan jika ingin berhubung dengan TUHAN.
BAGARO mengintai-intai perlakuan
Shafi dari sudut malam. Kehadiran anak muda itu telah mengundangnya untuk
keluar dari tempat persembunyiannya dari siang hari tadi. Perlahan-lahan dia
menyusup di celah-celah dedaun, lantas berdiri menapak di dahan pokok besar di
hutan tua itu. Shafi masih tidak berganjak walau
setapak pun dari tempat duduknya ketika selesai menghambakan dirinya kepada
ALLAH sebentar tadi. Dia seperti tidak sedarkan diri. Matanya terkatup rapat.
Hanya bibirnya sahaja yang sedikit bergerak. Jika didengar dari dekat, alunan
zikir akan kedengaran merdu dan berupaya menenangkan hati yang gusar.
Secara
tiba-tiba, anak telinga Shafi bergetar, bulu romanya meremang. Dia membuka
kelopak matanya perlahan-lahan. Ketika pandangannya menyapa malam yang kelam,
kelihatan satu lembaga manusia sedang berdiri selang dua hasta daripadanya. Dia
– Bagaro. Pancaran kelam bulan mempamerkan susuk tubuh Bagaro yang sasa dan
berbulu. Kukunya tajam bak belati, mulutnya menyeringai yang mengeluarkan bau
yang tidak menyenangkan.
“Assalamualaikum wahai hamba
ALLAH.” Shafi lantas bangun dan memperkemaskan keadaan dirinya.
“Berani-beraninya kau datang ke
sini.” Bagaro mencebik. Sekali gus menampakkan baris giginya yang tidak teratur
dan berwarna kekuningan.
“Apa salah penduduk di sini
sehingga kau sanggup membunuh mereka?” Shafi tidak menjawab, malah mengutarakan
kembali soalan yang kurang menyenangkan Bagaro.
“Jahanam!” Bagaro bertempik seraya mengatur
langkah ke depan dan memulakan serangan. Shafi hanya mengukir senyuman sinis
lalu membentangkan tangannya ke depan.