January 22, 2013

Tips menjadi penulis


TIPS MENJADI PENULIS


SEBENARNYA saya rasa masih  kurang pengalaman untuk menyediakan ‘tips’ menjadi seorang penulis disebabkan saya juga masih baru dalam dunia penulisan. Ramai kawan bertanya kepada saya begini ;

Macam mana kau boleh jadi penulis?

Kalau aku nak jadi penulis macam mana?

Boleh tak kau tolong aku supaya aku boleh jadi penulis macam kau?

Habis nanti dekat mana aku nak hantar karya aku?

Semua pertanyaan itu tidak mampu saya jawab dengan mulut kerana panjang ceritanya. Bayangkan kalau sepuluh atau lebih dari seorang yang bertanya. Saya pun tiada masa hendak menjawabnya kerana sibuk menyiapkan mansukrip. Saya ulang sekali lagi, saya tidaklah sehebat mana pun dalam menulis ini kerana saya juga masih belajar. Kalau hendak diikutkan setakat ini saya sudah menghasilkan sebuah novel, 3 cerpen, 6 puisi dan  2 karya bukan kreatif dan beberapa buah novel lagi yang dalam proses hendak terbit dan juga buku cerita kanak-kanak.

Saya sekadar berkongsi ilmu dengan anda. Apa yang kurang datang dari saya dan yang baik itu tentu datangnya dari Allah S.W.T.

Baiklah kita beralih kepada fokus utama iaitu tips menjadi penulis. Atau lebih dikenali sebagai Bakal Penulis’yakni karyanya masih belum disiarkan lagi.


Tips Menjadi Penulis


Mengenali Penulis-penulis yang ada
-         Kenalilah paling kurang pun 10 orang penulis. Boleh senaraikan Sasterawan Negara di Malaysia? Bacalah karya-karya beliau. Lihat bagaimana beliau mengunakan bahasa dalam sastera. Ingat! Jangan tiru/ plagiat/ ciplak dll karya beliau. Jadikannya sebagai bahan rujukan. Adalah lebih baik jika kita ada menyimpan koleksi karya-karya beliau.


Membaca
-         Bacalah sekurang-kurangnya 10 buah novel untuk menjadi penulis novel/ cerpen dll. Begitu juga dengan puisi. Adalah lebih baik jika baca lebih dari itu. Ini sebagai menguatkan lagi bahasa dalam penulisan.


Cari Ilham
-         Mulalah menulis karya anda. Carilah tempat-tempat yang sesuai untuk mendapatkan ilham dan idea. Ada yang menulis di atas kertas. Boleh juga. Tetapi adalah nampak lebih kemas jika menaipnya. Gunakan Font Times New Roman atau Arial, Saiz 12 dan langkau dua baris.


Edit Karya
-         Sesudah menghasilkan karya anda tidak kiralah dalam bentuk puisi, cerpen atau novel, silalah edit semula. Baca apa yang kurang dan tambah jika perlu. Pastikan Kamus Dewan  menjadi rujukan dari segi tatabahasa dan susunan kata.


Hantar Karya
-         Sebelum anda menghantar karya lihat dahulu jenis majalah, akhbar dan juga penerbit. Bukan apa, takut nanti tidak bersesuaian pula. Contohnya, sesebuah penerbit  hanya menerima manuskrip Awal Remaja sahaja tetapi anda menghantar manuskrip Cinta. Adakah sesuai? ( Ini sebagai contoh sahaja. Harap anda faham)
-          Carilah penerbit yang sesuai. Boleh lihat senarai penerbit di dalam blog saya ini. Lihatlah senarai manuskrip yang diterbitkan olehnya. Jikalau bersesuaian dengan karya anda, barulah hantar.
-          Bagi yang karya seperti puisi, cerpen dll belilah majalah yang anda rasa hendak hantar karya cerpen atau puisi ke majalah tersebut. Contohnya majalah Remaja, Dara, Jelita dll . Lihat di ruangan Puisi, Cerpen, Sejambak Ilham, Ilhamku dll , di situ ada disertakan emel editor atau alamat untuk menghantar karya. Jika tiada, lihat sahaja muka surat awal dalam majalah itu, tentu ada alamat di mana terletaknya syarikat membuat majalah itu. Boleh hantar karya dan lampirkanlah surat. Sertakanlah juga maklumat diri anda seperti nama penuhalamat,nombor kad pengenalannombor telefonalamat emel dll supaya pihak editor mudah menghubungi anda.
-          ngat, tidak semua majalah akan memberikan bayaran kepada karya penulis yang disiarkan. Jadi nanti  jangan pula tuntut bayaran kepada editor. 


Hubungi Editor
-         Setelah selesai menghantar karya, ringankanlah tangan anda untuk menghubungi editor melalui telefon, emel dll bagi memastikan karya anda selamat sampai kepadanya.


Miliki Majalah
-         Bagi yang menghantar manuskrip, janganlah terlalu kerap bertanyakan kepada editor tentang manuskrip untuk segera diterbitkan. Ini akan memberatkan lagi tugas editor. Tunggu sahaja maklumbalas dari editor. Pastikan editor itu ada menyatakan bahawa beliau sudah menerima masuskrip anda.
-    Bagi yang menghantar cerpen dan puisi, milikilah majalah tersebut setiap bulan atau setiap keluarannya. Ini kerana tidak semua editor akan memberitahu bahawa karya kita telah disiarkan. Rajin-rajinlah mendapatkan majalah tersebut.


Ucapan Terima Kasih
-         Ucaplah terima kasih kepada editor yang sudi menyiarkan karya anda. Editor menerima banyak karya setiap hari. Karya yang disiarkan antara yang terbaik dan bertuah. Tetapi janganlah terlalu bangga dengan karya anda. Terkadang tidak semua karya disiarkan itu baik. Ada yang perlu diperbaiki. Contohnya seperti karya-karya saya. Jujur saya katakan saya juga masih belajar.
-     Mintalah pendapat editor tentang karya anda. Kalau anda selalu hantar karya, editor akan mengenali anda. Rajinlah menulis tanpa henti. Hasilkan karya dengan lebih baik lagi.


Itulah sedikit sebanyak pengalaman saya ketika menjadi bakal penulis. Apa yang kurang harap dimaafkan. Ingat sekali lagi saya ulang, saya sebenarnyaTIDAK layak dalam memberikan tips sebegini. Ini adalah atas permintaan yang bertalu-talu bertanya kepada saya. Semoga ianya membantu anda. Saya kongsikan ilmu saya untuk semua. Semoga bermanfaat!

No comments:

Post a Comment