April 12, 2014

Ayat Ruqyah penawar gangguan Syaitan, Jin, dan makhluk halus lain!

Mari Beramal dengan Ayat Ruqyah | Ayat Rukyah

Assalamulaikum, 
Pernah dengar mengenai ayat Ruqyah? Kalau ya, sudah pasti anda tahu apa kegunaan dalam kehidupan seharian kita. Bagi yang belum tahu, mari kita sama-sama baca entry ini, InsyaAllah semoga berguna.

"Ayat ruqyah ni ialah himpunan ayat al-Quran yang digunakan dalam tujuan perubatan dimana dibacakan kepada orang yang terkena sihir, atau gangguan jin dan ia salah satu daripada himpunan ayat suci Alquran untuk penawar dan menghalau jin. Bukanlah dikatakan ayat2 ini mempunyai kuasa menyembuhkan penyakit, Allah jua yang memperkenankan doa kita segalanya"
Antara surah yang terdapat dalam himpunan Ruqyah ini ialah :-

1. Al-Fatihah
2. Al-Baqarah 1-5
3. Al-Baqarah 102
4. Al-Baqarah 163-164
5. Al-Baqarah (Ayatul Qursi/Ayat Kursi) 255
6. Al-Baqarah 256-257
7. Al-Baqarah 285-286
8. Ali Imran 18-19
9. Al-A'raf 54-56
10. Al-'Araf  117-122
11. Yunus 81-82
12. Toha 69
13. Al-Mukminun 115-118
14. As-Soffaat 1-10
15. Al-Ahqaaf 28-32
16. Ar-Rahman 33-36
17. Al-Hisyr 21-24
18. Al-Jin 1-10
19. Al-Ikhlas
20. Al-Falaq
21. An-Naas


Durasi masa untuk  anda baca sendiri dalam 15-20 minit macam tu untuk lebih berkesan ataupun boleh jugak dengar melalui mp3. Ni untuk download dalam bentuk pdf Ayat Rukyah Syariah.pdf dan mp3 Ayat Ruqyah 4shared. Masa nak dengar tu, lebih baik guna headset atau earphone ye readers sekalian dan pasangkan volume yang tinggi.Pejamkan mata dan hayati bacaannya. Jangan ikut baca sekali sama ada dalam hati ataupun secara lisan. Ni jugak cara kita nak scan sama ada badan kita ni ada x benda yang tak elok menumpang. 

Selepas membaca ayat ini dikatakan bahawa, akan ada simptom2 ini muncul:-

1)denyutan jantung makin kencang
2)badan bergegar
3)ada benda bergerak-gerak bawah kulit
4)mengantuk/menguap
5)batuk
6)gelisah
7)panas di tengkuk

Selepas mendengar ayat ini, insyaalah dapat menghalau jin yang berada dalam tubuh kita. Penjelasannya adalah mudah,jin yang berada dalam tubuh kita akan bergerak melalui saluran darah kita,ayat-ayat ruqyah syariah ini pula amat mustajab dalam menyakiti mereka,lalu mereka akan kucar-kacir dalam darah kita lalu menyebabkan degupan jantung kita bertambah kencang. Bagi pesakit-pesakit sihir pula,jin dalam badan akan membuatkan kita mengantuk apabila mendengar mp3 ruqyah syariah ini.Dan bagi kes saka,kita akan terasa panas ditengkuk....

Pembaca yang dirahmati ALLAH,

Tujuan ain nak update dan buat balik entri ini untuk berkongsi ilmu dengan anda. Pernah ain cerita dulu bahawa si dia pernah terkena kan? Ni nak cerita pengalaman sendiri. Bukan nak tuduh sesiapa yang hantar atau terkena sendiri, yang nak ditekankan semasa  ain mengalami sendiri kejadian ini.  

Waktu semasa belajar dulu, kerap kali tertinggal waktu sembahyang. Kadang2 balik kuliah pukul 6.30 petang, tertidur sampai lepas Maghrib, kadang2 hingga ke isyak (memang menyesal). Pernah sampai terasa bila kawan baca Quran atau Yasin pada waktu magrib, jiwa kita rasa sangat membara, panas gelisah dan tanpa sedar kita pandang dia dengan jelingan dan mata yang macam nak terjojol keluar. Sembahyang apatah lagi, terasa sangat malas dan kadang2 memang tinggal. Bahu terasa sangat berat macam ada orang yang duduk kat bahu kita. Marah jangan cakaplah... selalu je dalam keadaan yang marah, rasa nak melenting, buat apapun tak kena dan hati yang tidak tenteram. Kalau nak solat pun, ada je terlintas dalam fikiran macam2 benda yang tak elok. 

Kan dulu si dia pernah terkena dan ain pernah bacakan untuk dia. Satu hari ain cuba amalkan sendiri, tekapkan earphone dan pasang kuat2. Ya ALLAH, betapa panas dan kuat jantung berdegup. Benda yang menjalar kat bawah kulit bergerak laju daripada kaki ke atas badan balik ke paha dan kembali ke ibu kaki. Kepala dah teleng2 kejap belah kiri dan kejap belah kanan sebab benda tu tak nak bagi kita dengar. Air mata mengalir laju keluar dan ain menangis teresak2 seolah2 bila kita menangis ditimpa musibah yang berat. Tapi ain masih lagi sedar masa tu, ain pasti bukan ain yang menangis semata-mata tidak tahan panas yang membara, tapi benda tu menangis sebab dia tak nak dengar ayat rukyah, dia tak nak keluar dan dia rasa sakit. Serius semasa dengar ayat rukyah, badan memang panas, berpeluh-peluh, rasa sakit pada ibu jari kaki, perasaan berdebar  terlampau dan seluruh badan bergegar. Masa tu juga ain beritahu pakcik dia dan dia tolong ubatkan. 

Kata pakciknya, jangan sesekali tinggal solat, jangan tidur waktu lepas asar ke maghrib, rajin2 lah baca quran, jangan mandi berbogel ( ye adik2 dan wanitaku sekalian, sebab ramai yang tumpang tengok dan akhirnya jatuh cinta pada kita), rajin bersihkan diri terutamanya semasa dalam keadaan yang kotor (haid) dan jangan biarkan diri terlalu diulit oleh perasaan yang tidak enak. Contoh: kalau kita sedih sangat, kita sering termenungkan? masa tu la mungkin ada benda yang nak berdamping dengan kita...lagi2 lah masa kita marah. Sentiasa penuhkan masa dengan benda yang berfaedah.

Masa tu, alhamdulillah dah ok. Setiap malam amalkan membaca ayat rukyah sehinggalah sekali lagi manusia ini terleka. Masa kat rumah selepas setahun berlalu, malam magrib ada satu  program rukyah bersama ustaz2 dari Kuching datang ke surau di kampung dengan tujuan nak ajar bacaan rukyah dan scan sesiapa yang datang ke surau. Masa tu ain tak pergi pun, entah kenapa rasa sangat berat hati dan macam ada perasaan takut. Tapi ain duduk di luar rumah sambil dengar dari jauh sayup-sayup suara ustaz di surau dengan adik-beradik.

Ustaz tu kata:-
1. Tutup mata..tenangkan hati dan hayati ayat rukyah yang akan saya bacakan ini.
2. Jika ada sebarang tanda2, maka mungkin ada makhluk ALLAH yang lain berdamping dengan anda. Sesungguhnya ini ada lah dugaan dan cabaran kepada anda.

Masa tu, dengan bersandarkan tiang rumah, ain ikut arahan ustaz tu, pejam mata dan dengar bacaan syahdu ustaz, dan YA ALLAH, terjadi lagi simptom yang ain sebutkan diatas. Panas, berdebar, benda bergerak di bawah kulit dan menangis lagi teresak2. Kepala terteleng2 lagi kekiri kekanan. Sempat lagi berfikir masa tu, Ya ALLAH dugaan apa lagi yang Kau berikan padaku. Adik2 yang dengar ain menangis rasa takut gila. Untuk pengetahuan anda sekalian, masa bapak balik dari surau katanya da 3 orang meraung2 menangis semasa mendengar bacaan ayat rukyah.

Apa yang ain buat lepas tu, ain cari ustaz di Kuching dan buat rawatan dengan dia. Ustaz baca ayat al-quran, suruh kita duduk menghadap kiblat dan bersilat di belakang kita. Memang takut ain masa tu dan hati berdebar kencang. Alhamdulillah pulih juga dari benda yang tak elok. dan percayalah, ustaz tu cakap benda yang sama seperti pakcik si dia bagitau. 


"Kembalilah mendekatkan diri kepada ALLAH..laksanakan apa yang ibadat dan jauhkan segala yang mungkar( terpaku seketika diri ini). Amal maaruf nahi mungkar". Beramal dan berkawanlah dengan Al-Quran."

Sesungguhnya apa yang terjadi kadang2 berpunca dari diri sendiri. Walaupun memang ada orang yang dengki pada diri kita dan hantar benda syirik segala, tetap itu semua urusan ALLAH dan DIA memang hendak menguji kita sama ada kita sabar atau tidak menghadapi benda yang tidak elok begini. Sebab tu, ain ceritakan pada kawan2 maya sekalian bahawa benda macam ni memang wujud dan kalau boleh kita protect diri kita dengan beribadat kepada ALLAH. Sembahyang itu tiang agama, itulah pendinding diri yang terbaik buat kita. Ampunkan aku Ya ALLAH, atas dosaku yang lalu...

Jadi, pembaca yang dikasihi, bacalah atau dengar lah ayat rukyah ni sebelum tidur serta biarlah tidur dengan berwuduk. Kalau nak cuba untuk scan sendiri pun cubalah. Lau ada tanda2 yang disebut di atas, cepat2 lah pergi berubat. Buang rasa malu dan kita tak nak benda gini memudaratkan diri kita.

Salam ukhwah :))

Sumber : http://nurriz3120.blogspot.com/

April 8, 2014

PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN


PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
 Assalamualaikum ya akhi, ya ukhti... :)
Hari ini, saya terbaca entry daripada blog minda tajdid milik Dr. Maza mengenai artikel ini. InsyaAllah, semoga bermanfaat. Ingatlah bahawa, biarpun dosa kita setinggi langi... Nescaya ALLAH akan mengampuninya melalui rahmat-Nya. InsyaAllah...

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w
Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)
HINA DAN MULIA
Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.
Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.
APAKAH SYURGA MURAH?
Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!
Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.
Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.
Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.
BANYAK DAN SEDIKIT
Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.
Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.
TIDAK SAMPAI AJARAN
Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.
Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:
“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).
Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.
INSAFI DIRI
Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!