Tajuk Novel: M.U.R.S.H.I.D
Penulis: Riduan Judin
Genre : Thriller(Merangkumi kisah cinta dan lain-lain)
Hak Cipta Terpelihara
EPILOG
HUJAN
pertama yang ALLAH
turunkan ke dunia ialah pada 10 Muharram
bersamaan dengan Hari As-Syura. Pada hari tersebut, banyak sejarah peradaban
yang berlaku atas izin dan kehendak ALLAH seperti penciptaan Arasy, langit,
bumi dan bintang-bintang. Lalu diciptakan pula sekalian makhluk yang begitu
taat iaitu malaikat dan azazil yakni iblis.
Selepas itu, ALLAH menjadikan Adam lalu
memerintahkan malaikat dan azazil tunduk sujud kepada Nabi ALLAH itu. Dan di
sinilah titik pertama berlakunya perbalahan di langit yang berlanjutan sehingga
ke bumi. Iblis dilaknat atas kesombongannya yang diciptakan daripada api.
Bukankah manusia ialah sebaik-baik ciptaan? Kerana manusia mempunyai akal
fikiran untuk menjadi ‘khalifah’. Umpama tanah dan api. Tanah itu menyuburkan
dan api itu membinasakan. Maha Suci ALLAH.
Tambunan,Sabah
MAKHLUK yang dinamakan Duwarung menyeringai
kasar. Gigi-giginya yang tajam meruncing tampak kelihatan. Mangsanya mati
dijadikan santapan. Dia melakukannya dengan rakus sekali. Dia makhluk ciptaan
ALLAH yang ingkar. Hidupnya umpama tidak bertuhan. Malah kelakuannya umpama
gabungan sifat jahat manusia dan syaitan. Dia makan semata-mata untuk hidup dan
dia tidak akan sesekali suka minum. Dia ada sejarah hidup tersendiri, dia bukan
‘manusia’ tapi bukan juga syaitan. Apabila aura kejahatan diseru, maka waktu
itulah dia akan datang.
Hotel
Hilton, Petaling Jaya
MALIK
mendongak di hujung
bumbung Hotel Hilton. Anak matanya tajam menerkam salah satu bilik yang sudah
dikenal pastinya - bilik 1109. Sedari petang tadi, dia telah pun berjaya
menjejaki ‘mangsanya’ dengan membuat intipan awal. Dia meraba pinggangnya,
memeriksa pistol yang dilengkapi dengan silencer ataupun penyerap bunyi - penuh berisi peluru.
Pistol itu disimpan semula. Lalu kakinya pantas menuju ke lobi utama hotel.
Ayunan kaki diperlahankan. Dia tidak
terburu-buru kerana mangsanya pasti sedang bergembira di dalam bilik sewa yang
disewany. Namun, nasibnya sedikit malang apabila salah seorang petugas wanita
di kaunter itu memanggilnya. Dia segera menoleh dan menguntum satu senyuman.
Pantas dia mengeluarkan sebuah kunci berbentuk seperti kad yang menyerupai
kunci bilik hotel itu. Staf itu segera tersenyum. Malik segera melangkah tanpa
menoleh lagi.
Hari ini, Malik tidak akan membazirkan
malamnya. Kedatangannya ke sini mesti membuahkan hasil. Dia juga tidak ingin
intipannya terhadap mangsa menjadi sia-sia. Dia mahukan nyawa. Malah, kalau
diikutkan kata hati, mayat mangsanya akan dikerat dan dibakar sehingga menjadi
abu. Mukanya masih begitu – Dia lelaki serius. Senyuman adalah satu kebencian
baginya. dia tidak begitu, Cuma hambatan masa lalu yang terlalu perit
menghimpit jiwanya.
DATUK HARIS sedang duduk di salah sebuah sofa
berjenama sambil menikmati perahan buah anggur yang disediakan oleh pihak hotel.
Seorang wanita yang dipercayai bukan warga tempatan duduk di sebelah lelaki itu
sambil melentokkan kepalanya di dada Datuk Haris. Pakaiannya yang sendat
mengundang mainan otak nakal lelaki itu.
Ketukan
dari arah luar bilik kedengaran. Darahnya serta-merta berselirat ke otak. Sebelum
mengunci pintu tadi, Datuk Haris telah pun meletakkan tag ‘Don’t Disturb’ di depan pintu bilik itu. Dia bingkas bangun,
berjalan ke arah pintu dengan emosi yang membuak-buak. Dia tidak suka diganggu.
Pintu dibuka dengan kasar. Dalam hatinya menghamburkan sumpah.
“Kau
tak faham bahasa ke? Aku dah letak tag di depan pintu tu.” Suara Datuk Haris kasar.
Dia menyingga lelaki yang dia percayai sebagai pelayan hotel mewah itu.
“Maaflah,
tetapi tag itu tertanggal.” Seiring dengan itu, sepucuk pistol dihalakan tepat
ke dahinya. Datuk Haris terundur ke belakang. Malik segera masuk, sekali gus
mengunci pintu agar mereka terkurung di dalam bilik itu.
“Si…
siapa kau? Kau nak apa?” Suara Datuk Haris mengendur. Situasi seperti itu benar-benar
mengecutkan perut. Umpama berhadapan dengan binatang pemangsa yang sedang
kelaparan. Dia dibasahi peluh dingin.
“Namaku
Malik, aku datang untuk mencabut nyawamu.” Malik masih tidak melepaskan
tembakan. Seolah-olah ingin melihat wajah ketakutan yang dipamerkan oleh Datuk
Haris.
“Tapi, ke... kenapa?” Datuk Haris
terketar-ketar. Gadis yang menemaninya tadi tidak kelihatan di situ. Dia ke
bilik air.
“Sekarang pukul 10.00 malam, berita
kematian kau masih sempat masuk dalam berita pukul 12.00 tengah malam nanti.”
Picu pistol ditekan. Sebutir peluru pantas menujah dahi Datuk Haris. Badannya
serta-merta rebah ke lantai. Darah merah pekat menyeruak. Halkumnya
mengeluarkan bunyi seperti lembu disembelih, seolah-olah meratapi pemergian yang
empunya badan.
Hukuman telah dijatuhkan dan sekarang
dia harus melepaskan diri agar tidak terhukum atas hukuman yang dia jatuhkan mengikut
undang-undangnya sendiri. Malik segera menyisipkan kembali pistolnya. Dia mula
mengatur langkah namun terhenti apabila melihat wanita yang bersama Datuk Haris
tadi sedang menekup mulutnya di depan pintu bilik air.
“If
You do not want to be accused killed, go from here. Immediately!” Muka Malik tetap serius seperti tadi.
Dia pantas meninggalkan jasad kaku Datuk Haris bersama wanita itu. Ternyata,
malamnya yang dibazirkan tidak sia-sia. Ia dibayar dengan harga yang sangat
mahal iaitu – nyawa.