February 10, 2013

Ilmu tidak berpenghujung(belajar)


Salam, hari ini admin nak share entry pasal ilmu. 'ilmu', agak sinonim juga dalam kehidupan insan- apatah lagi yang bergelar guru/ pendidik. admin teringat pula dengan ungkapan hadis Baginsa Rasullulah yang maknanya boleh diertikan seperti ini, " keluasan ilmu yang apabila kita masukkan jari di laut lalu mengangkatnya, titisan air yang melekat di jari itulah ilmu yang manusia ada. manakala lautan nan luas itu adalah ilmu ALLAH s.w.t. "SubahanALLAH". Sesungguhnya hanya Dia sahaja yang maha Perkasa dan Maha Hebat- Wan.


Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah, Malaikat dan Ahli (penduduk) langit dan bumi; hingga semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia. (HR al-Tarmizi, 300 hadis bimbingan oleh ustaz Zahazan Mohamad)

Ya Allah, berkatilah usaha dan kehidupan guru-guru kami.

Dalam Islam, dilihat dari segi sejarah dan ajarannya, ada beberapa istilah yang digunakan mengenai guru. Antaranya ialah mu'allim, murabbi, mu'addib dan mudarris.

Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim). Dalam al-Quran, proses ta'lim ini dimulakan sendiri oleh Allah dalam ayat yang bermaksud: Dan Allah ajarkan kepada Adam (hakikat) segala nama.(Q.2.31) Kemuliaan Nabi Adam dengan mendapat taklim daripada Allah. Dengan memiliki ilmu menjadikannya sebagai makhluk paling mulia. Allah memerintahkan malaikat sujud memuliakannya, bukan sujud ibadat. Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat - satu usaha suci dan mulia. Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant. Beliau berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.

Guru dipanggil juga sebagai murabbi, iaitu guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.

Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah.

Dalam Islam, guru juga dipanggil mursyid, iaitu guru yang membimbing, menentukan kehidupan serta nilai yang betul. Ini memang tepat dengan tujuan dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda, apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam. Ini termasuk setiap yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.

Guru sebagai pendidik, adalah ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pandangan hidup, hidup kerohanian, akhlak dan kepakaran dalam bidang ilmu yang berfaedah. Dengan ini, dikatakan bahawa pendidikan atau irsyad itu berjalan seiring dengan matlamatnya.

Dalam Islam guru juga dipanggil muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan seterusnya. Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan adab itu.

Adab dalam pengertian yang menyeluruh dan mendalam inilah yang dimaksudkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya Adabud-Dunya wad Din (Adab hidup dunia dan hidup beragama). Kita boleh lihat bagaimana pendidikan tidak terpisah daripada adab atau akhlak yang tinggi. Pendidikan yang dijayakan oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi sekarang.

Kepentingan akhlak diberi penekanan yang wajar oleh Islam. Sebab itu Nabi Muhammad saw. bersabda lebih kurang maksudnya: Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan Allah memuji Nabi Muhammad saw. dengan menyebut peribadinya yang agung dalam ayat yang kira-kira bernaksud: Sesungguhnya tuan hamba mempunyai peribadi yang agung (Q.4)

Kita boleh bersetuju dengan pemikir barat mengenai peradaban dan moral. Albert Schweitzer dalam bukunya Civilization and Ethics menyebut, kualiti sesuatu peradaban itu terletak pada keberadaban tenaga moral dalam peradaban itu. Adanya guru yang beradab dan memberi pendidikan adab kepada murid selain mendidik ilmu, adalah penyelesai banyak masalah yang dihadapi masyarakat.

Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah akan selesai.

Dalam peradaban Islam, ulama dan guru yang mempunyai fungsi menjayakan budaya ilmu dalam Islam berpandukan keimanan dan ketaqwaan. Mereka juga menjayakan kemahiran untuk umat, dengan itu golongan yang diajar menjadi umat yang unggul, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Mereka menjadi ustazaul'alam. Dengan ini manusia mendapat hasanah di dunia ini dan hasanah di akhirat.

Tugas utama bagi guru ialah membentuk pandangan hidup yang betul dalam bentuk akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Pandangan hidup ini mengajar manusia hubungan yang betul dan tepat sesama manusia, Tuhan, alam dan kehidupan serta pengabdian manusia kepada Tuhan. Manusia menyempurnakan hidupnya di dunia demi untuk mencapai kebaikan dan kesempurnaan dalam alam yang kekal abadi. Masalah pandangan hidup dan akidah adalah masalah pokok.

الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَاعِلِ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا أُولِي أَجْنِحَةٍ مَّثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاء إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
(Surah Al-Fatir 35: Ayat ke 1)

Kaedah merawat hati


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati."

Bukhari dan Muslim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap penyakit akan ada ubatnya. Penyakit yang paling sukar diubati adalah penyakit hati manusia. Jika hati manusia sudah sakit dan pemilik hati tersebut tidak tahu bahawa hatinya berpenyakit maka sukar untuk di ubati. Tetapi jika pemilik hati tahu dia sedang sakit dan berusaha untuk mencari penawarnya maka ianya satu petanda bahawa ubat yang dicari akan ditemui dan insya Allah hati tersebut akan dapat di ubati dan akan menngalami penyembuhan.

Terdapat 18 cara dan rawatan hati yang perlu dilakukan supaya hati kalian dapat dirawat dan terhindar daripada penyakit hati. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Mentarbiah hati supaya mencintai Allah SWT dengan sedalam-dalamnya.

2. Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.

3. Mendekatkan kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunat.

4. Khusyuk dalam solat.

5. Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah SWT.

6. Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah SWT dan mengharapkan keredaan-Nya.

7. Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.

8. Beriktikad dengan akidah yang betul.

9. Sentiasa melakukan muhasabah diri.

10. Memperuntukkan masa bagi Allah SWT menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

11. Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

12. Tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT dalam segenap tindakan dan perbuatan.

13. Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.

14. Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT.

15. Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

16. Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan.

17. Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

18. Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita beramal dengan 18 perkara di atas yang akan mendekatkan hubungan hati kita dengan Allah SWT dan meningkatkan ilmu dan amal dan istiqamah dengan jalan yang hak. Hanya hati yang bersih, mulia, sejahtera dan ikhlas akan dapat memasuki syurga Allah SWT yang bebas daripada penyakit-penyakit hati.

Artikel oleh Ustaz Abu Basyer / Design Oleh Zulhafidz Yahaya

بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
(Tidak demikian) bahkan barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati
(Al-Baqara 2:112)